Monday, January 5, 2009

Ibnu Farid, juara Bintang P.Ramlee Kebangsaan 2008

wakil zon Sarawak.
Tempat ketiga.
Naib Johan.
Johan Bintang P.Ramlee Kebangsaan 2008
YANTISHAM
Foto: Ihsan dari RTM
KEHEBATAN persembahan solo dan duet oleh peserta yang mewakili zon tengah, Ibnu Farid Kamaruddin bersama pasangan gandingannya Siti Sarah Mohd Sharir berjaya dinobatkan sebagai Juara Bintang P.Ramlee Kebangsaan 2008.

Mendendangkan lagu berjudul Barang yang Lepas menerusi persembahan solo dan lagu duet, Yang Mana Satu Idaman Kalbu, Ibnu Farid dan Siti Sarah berjaya memikat hati panel juri sekali gus menggalahkan 7 pasangan yang berentap dalam pertandingan Bintang P.Ramlee Kebangsaan 2008 yang diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 13 Disember lalu.

Diundi sebagai peserta pertama, Ibu Farid dengan intonasi vokal yang mirip seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, penguasaan pentas yang baik dan persembahan yang konsisten membolehkannya membawa pulang hadiah RM7,000, piala dan sijil.

Menurut Ibu Farid ketika ditemui selepas pertandingan, dia dan Siti Sarah membuat persiapan selama 3 bulan untuk memastikan persembahan mereka lebih mantap sekali gus mengakui bahawa dia sangat bersyukur dengan kemenangan tersebut.

“Ini merupakan pertandingan P. Ramlee yang pertama kami sertai. Sebelum ini saya dan Siti menyertai pertandingan Bintang Klasik dan dalam pertandingan tersebut kami berjumpa dan berbincang untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

Naib juara dimenangi oleh peserta yang mewakili zon selatan iaitu Mohd Faizal Abdul Rahman dan pasangannya Norhashima Kadir, menerusi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Resam Dunia. Mohd Faizal yang pernah meraih johan kebangsaan bintang idola P.Ramlee 2007 ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000, piala dan sijil.

Tempat ketiga dimenangi oleh zon Sabah iaitu Mohd Syazwan Nizam Matusin dan pasangannya Dayang Nurul Fatihah Pangiran Zainal dengan meraih hadiah sebanyak RM3,000, piala dan sijil.

Persembahan terbaik pula diraih oleh peserta dari zon timur iaitu Mohd Hanafiah Yusof dan Farah Noorashikin Abdul Rahim menerusi lagu Bertemasya. Pasangan ini meraih hadiah sebanyak RM1,000, piala dan sijil.

Manakala hadiah sagu hati sebanyak RM2,000, piala dan sijil diraih oleh Abu Zahid Ibrahim & Athirah Dullie Abdullah (zon Sarawak), Faizal Mohd Hassan & Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin (zon utara), Mohd Khairul Nazri Haji Johari & Ampuan Nur Hafizah Hanun Ampuan Haji Yaakob (zon Brunei Darussalam) dan Ardiansyah & Anita Djakaria (zon Khalimantan Barat, Indonesia).

Kesemua hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Pertandingan kali ini merupakan penglibatan pertama zon Brunei Darussalam dan Khalimantan Barat, Indonesia. Artis jemputan pada pertandingan tersebut ialah Musliy Amir Ramli, Salwa Abdul Rahman dan Isma Alif. Semua peserta peringkat kebangsaan diiringi oleh kombo RTM Kuching yang dipimpin oleh Mohd. Dadi Rafaee. Manakala hos pertandingan tersebut ialah Zul Yahya dan Azie.

1 comment:

  1. Bangga dapat tengok generasi muda menghargai Tan sri Dr P Ramlee. takde vcd/dvd full rakaman pertandingan ker??

    ReplyDelete