Wednesday, December 17, 2008

Kumpulan nasyid Citra muncul johan

KAMI MENANG...Kumpulan nasyid Citra.
VALENTINE NGUMBANG
Kumpulan Citra dari Sri Aman, Sarawak telah dinobatkan sebagai johan Kategori Nasyid Moden pada pentas akhir Festival Nasyid Kebangsaan ke-19 2008 yang telah berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini.
Kumpulan terbabit muncul sebagai johanm menerusi persembahan lagu berjudul Aura Kemasyhuran ciptaan Adam Abu Kawi dan lirik oleh Mohd. Zuzy Abd. Sani. Sebanyak 2 kategori dipertandingan iaitu Kategori Tradisi & Kategori Moden.
“Lagu “Aura Kemasyhuran” yang dicipta dan dinukilankan khas untuk Angkasawan Pertama Negara iaitu Datuk Dr. Sheikh Muzapher Shukor sambil liriknya digarap indah mengikut tema tahun ini iaitu “Menjana Ummah Gemilang,” kata Adam ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.
Kumpulan nasyid Citra telah meraih undian SMS sebanyak 17.75 peratus daripada penonton untuk membolehkan mereka muncul johan sambil diikuti oleh Kumpulan Nibrash dari Sabah dengan peratusan undi SMS sebanyak 4.5 peratus
Manakala pemenang tempat ketiga iaitu kumpulan Rawiyani dari Selangor telah memperoleh undian sms sebanyak 4.23 peratus dan kumpulan Khami dari Wilayah Perkekutuan Kuala Lumpur pula memperoleh undian sms berjumlah 3.44 peratus.
Pada malam yang bersejarah itu, johan untuk kedua-dua kategori telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 disamping sebuah piala beserta dengan sijil penyertaan. Naib juara pula menerima wang tunai sebanyak RM8,000 manakala hadiah saguhati pula bernilai RM5,000 disamping piala dan sijil penyertaan.
Selaku ketua kumpulan Adam ingin melahirkan rasa syukur kepada Illahi kerana rasa kempunan untuk Sarawak membawa pulang gelaran JOHAN Kebangsaan untuk kategori moden akhirnya berjaya direalisasi pada tahun 2008 ini.
“Ianya merupakan penantian selama tujuh tahun untuk kumpulan dari negeri Sarawak memandangkan johan pertandingan ini telah dimonopoli kumpulan nasyid dari negeri Sabah.
“Walaupun ini adalah penyertaan kali pertama kami dalam Festival Nasyid Kebangsaan, saya amat berbangga sekali terhadap semangat yang ditunjukkan oleh anggota kumpulan kami selama ini,” katanya.
Beliau menerusi kemenangan ini telah merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih terhadap penduduk di Sarawak khasnya penduduk dari sekitar Bandar Sri Aman, Maludam, Debak, Saratok serta seluruh rakyat Malaysia terhadap sokongan mereka selama ini.
“Terima kasih juga kepada ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri di atas sumbangan beliau yang berupa bantuan kewangan. Begitu juga dengan Majlis Islam Sarawak, Kuching yang tidak berputus asa memberi sokongan moral dan nasihat sepanjang kami berjuang untuk FNK19 kali ini,” katanya.
Ketibaan kumpulan nasyid Citra di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada sebaik sahaja selesai pertandingan berkenaan telag disambut oleh Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak iaitu Datuk Putit Mat Zen.
Kumpulan Citra dianggotai oleh Adam bin Abu Kawi, Mohd. Zuzy Abd. Sani, Abdullah Bin Suhaili, Nurul Nik Syafik, Elfy dan Awang Khairul Amilin.

1 comment: