Tuesday, December 16, 2008

MTV Karaoke Bidayuh D’Member’s kini panas di pasaran

Nor, Anthony dan Sandra.
Album MTV Karaoke Bidayuh yang berjudul D’Member’s kini sudah panas di pasaran. Menurut Anthony selaku pengurus kumpulan tersebut, dia berpuas hati dengan kelahiran album sulung mereka itu. Ini adalah hasil daripada penat lelah mereka dan kebijaksanaan Somba Mix dalam pengurusan dan menerbitkan sama ada di dalam studio ataupun di lokasi pengambaran. Kumpulan D’Member’s telah ditubuhkan pada bulan September 2007.

Menurut Edward Sayu yang bertindak sebagai penerbit album tersebut, dia percaya album ini dapat menembusi pasaran kerana menampilkan dua versi bahasa Bidayuh iaitu Bukar Sadong dan Biatah. D’Member’s mempunyai dua vokalis lelaki iaitu pasangan adik-beradik, Anthony pengurus kumpulan tersebut dan Posta pemain bass, di samping anggota yang lain seperti Johnny (dram), Sahem ( Gitar utama), Soda (gitar kedua), Carlos dan Dale (keyboard).

Manakala vokalis wanita terdiri daripada pasangan adik-beradik juga iaitu Nor dan Sandra. Tambahan pula, Nor memang seorang vokalis yang mantap dan mempunyai keunikan suara yang tersendiri. Maka tidak hairanlah dia pernah menjadi jJohan dalam pertandingan pesta Berambeh yang telah dianjurkan oleh RTM.

Di kawasan Padawan, D’ Member’s memang tidak asing lagi kerana sering mendapat undangan untuk majlis kahwin, konsert dan sebagainya. Malah mereka juga pernah membuat persembahan sehingga ke Sri Aman. Menurut Anthony lagi, pada 8 November yang lepas mereka dapat jemputan daripada PIBG untuk mengadakan persembahan di kampung Anah Rais.

Album MTV Karaoke Bidayuh, D’Member’s mengandungi lagu seperti Rami Ngaru Siti (Sandra),Udip Kai Binasip ( Nor), Kuk Doh Pu’an (Posta), Ting Gaya (Anthony),Buran (Alex Kit),Pinyuka Pura-Pura (Nor),Balik Mah (Nor),Ann Bidingan (Anthony),Samah Bidapod (Posta),Sampe Asung (Sandra), Kisah Dip Di Dunia (Sandra) dan Deki Janji Muk (Sandra). Satu daripada lirik lagu versi Bukar Sadong dihasilkan oleh Willis, iaitu lagu Buran dan selebihnya adalah hasil tulisan Louis Isaac. Manakala versi Biatah adalalah hasil tulisan Posta dan D’Member’s sendiri.

Pada 29 November bertempat di Kampung Payau Achau, Jalan Mongkos, Serian,
diadakan majlis pelancaran album D’Member’s di samping berhibur bersama artis-artis terkenal Bidayuh yang lain seperti Mike Rantai, Madeen Now, Nice Syndora, Jabli FM6, Harry Acid Rain dan juga para DJ Wai FM seperti Brahim Jangem, Bobie Hendra dan banyak lagi.

Pelancaran pada malam tersebut akan disempurnakan oleh penyanyi Vetran Bidayuh yang pertama kali membuat rakaman piring hitam di sekitar 60-an dan masih aktif dalam bidang nyanyian iaitu saudara Richmond Allan Morsidi. Menurut Edward selaku penerbit album tersebut Richmond adalah salah seorang penyanyi Bidayuh Bukar Sadong yang pertama merintis jalan kepada para penyanyi Bidayuh yang ada sekarang ke industri seni hiburan. Untuk menghormati jasanya, dia telah diundang untuk menyempurnakan majlis pelancaran album pada malam tersebut.

Selain daripada itu para hadirin dan juga peminat berpeluang membeli VCD dengan harga yang cukup istimewa, iaitu yang termurah dipasaran. Bagi Sandra pula, boleh dikatakan ada bakat juga dalam seni suara. Dia memiliki suara tersendiri. Seperti adiknya juga, dia pernah mengikuti pertandingan nyanyian di sekolah menengah di mana dia telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Bakat mereka adik-beradik ini telah diketahui oleh ibunya sejak mereka masih bersekolah rendah lagi.

Akhir kata daripada semua anggota kumpulan D’Member’s mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Syarikat SombaMix production khas buat Cyril Kayam selaku pPengurus, Edward Sayu selaku penerbit dan Louis Isaac selaku penolong penerbit, Ramsay Owen selaku pemuzik dan Roystone Edward penolong pemuzik, tidak lupa kepada pihak Wai FM 101.3, kepada semua DJ-DJ kerana sudi memutarkan lagu-lagu mereka di radio dan juga semua peminat-peminat lagu-lagu Bidayuh serta semua FAN CLUB Wai FM di mana mereka berada supaya memberi sokongan penuh untuk menjayakan industri muzik Bidayuh dan dapatkanlah album yang original.

1 comment:

  1. Tahniah...Terdapat beberapa buah lagu yang saya suka dengar juga.

    ReplyDelete