Wednesday, December 17, 2008

Kursus belajar Ngajat

UNTUK ALBUM...Roselyn (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama exco SIDS Sri Aman dan para peserta sebaik sahaja tamat kursus baru-baru ini.Foto: ZULIA HAJI JEMAT

VALENTINE NGUMBANG
SERAMAI 21 orang peserta wanita berjaya menamatkan Kursus Belajar Ngajat yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman bertempat di Rumah Dayak, Sri Aman baru-baru ini.

Pengerusinya, Roselyn Abunawas ketika dihubungi menjelaskan bahawa kursus yang dikendalikan oleh Catheline Musa ini telah pun bermula semenjak 6 Oktober lalu dan berakhir pada 14 Disember lepas.

“Kursus Belajar Ngajat adalah merupakan salah satu objektif daripada pihak kami (SIDS) untuk memelihara dan memastikan kesinambungan budaya kaum Iban di kalangan golongan generasi mudanya pada masa sekarang.

“Dengan adanya kursus seumpama ini pihak kami secara tidak langsung dapat mempertahankan Tarian Ngajat dikalangan golongan generasi muda waktu ini agar ianya kelak dapat diperturunkan kepada golongan generasi seterusnya pada masa akan datang,” menurut beliau.

Selain itu Roselyn juga menasihatkan golongan generasi muda pada masa sekarang agar tidak terlalu taksub untuk mempelajari budaya kaum dari negara lain untuk diterapkan dalam aktiviti harian masing-masing.

Sifat terlalu taksub terhadap budaya kaum dari negara lain kata beliau boleh menyebabkan mereka lupa akan budaya kaum mereka sendiri sehingga boleh mengancam kepupusan budaya sendiri.

“Poco-poco misalannya adalah tarian milik budaya kaum dari luar negara. Mempelajari tarian Poco-Poco tidak salah asal sahaja kita melupakan tarian daripada budaya kaum kita sendiri,” katanya.

Justeru Roselyn berharap agar SIDS, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak dan Persatuan Budaya Iban di bandar ini dapat bekerjasama untuk memelihara budaya Kaum Iban di masa akan datang.

Selain Kursus Tarian Ngajat, pihak SIDS cawangan Sri Aman juga turut menganjurkan Kursus Betaboh yang melibatkan penyertaan daripada 10 orang peserta pada tarikh yang sama (6 Oktober).

1 comment: