Tuesday, December 16, 2008

Suzan muncul dengan album Mina Ngerua Umpan

Inilah Suzan Kedaya
DUWIN UDIH
INDUSTRI muzik Iban di Sarawak tidak ketandusan bakat baru apabila seorang lagi artis rakaman dikenali Suzan Kedaya muncul dengan album baru bertajuk Mina Ngerua Umpan. Album lagu artis dari Engkilili dalam Bahagian Sri Aman itu dikeluarkan syarikat rakaman tempatan popular berpangkalan di Sibu, Lau Ung Hock (LUH).

Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, kemunculan Suzan dalam industri muzik Iban di Sarawak Bumi Kenyalang pasti mengembirakan peminat lagu Iban di negeri ini. Meskipun agak baru, Suzan mempunyai bakat dan keyakinan tinggi dalam seni suara khasnya untuk lagu Iban.

Menerusi kejayaan sebagai juara dalam pertandingan nyanyian di tempat asalnya sebelum ini, beliau memanfaatkan bakatnya dengan merakamkan album lagu dengan syarikat rakaman Tiew Brothers Company (TBC), Sibu.

Melalui album berjudul ‘Anak’ dengan TBC, Suzan merasakan dia tidak begitu menyerlah, mungkin disebabkan kebanyakkan lagunya pada masa itu tidak berjaya menambat hati kebanyakan peminat lagu Iban.

Bagaimanapun, Suzan yang mahu menikmati angin perubahan, berhijrah dari TBC dan menandatangani kontrak dengan LUH yang mengeluarkan album sulungnya berjudul ‘Mina Ngerua Umpan’ yang mengandungi 10 lagu.

Lagu yang terdapat dalam album itu ialah Mina Ngerua Umpan, Sintak Panjuk Diri, Anang Nguji-Nguji, Pengarap Tebing Sungai Rajang, Sulu Udah Bebini, Joget Menoa Engkilili, Nuan Maioh Ulah, Sanggup Nganti,Datai Meh
Sulu dan Saum Pengerindu.

Sejak berpindah ke LUH, Suzan merasakan dirinya lebih dikenali dan lagunya juga berjaya menawan hati peminat lagu Iban. Suzan berkata dia kerap kali diundang untuk membuat persembahan dan ini memberi peluang kepadanya untuk bertemu dan mendekati lebih ramai peminatnya.

Albumnya juga mendapat sokongan baik daripada pencipta lagu dan lirik yang sememangnya orang terkenal dalam industri muzik lagu Iban di negeri ini. Selain beberapa lagu dan lirik yang dicipta Suzan sendiri,turut menyumbang lagu dan lirik dalam albumnya kali ini ialah Ricky Jay, Ervina, dan Dana Daling.

Antara kelainan dalam album Suzan keluaran LUH ialah mutu gambar muka depan album lebih menarik,susunan muzik yang sesuai dengan lagu, dan lirik yang lebih mantap, dan semua ini membantu usaha dan cita-citanya untuk berjaya dalam hidup sebagai artis.

Video cakera padat (VCD) dan cakera padat (CD) album Suzan sudah berada di pasaran, dan ditawarkan pada harga RM19.90 seunit.

No comments:

Post a Comment