Tuesday, December 16, 2008

Saiful mula sibuk selepas raya

Saiful.
Saiful bersama kawan-kawan di Kuching.
YANTI SHAM
Foto Andre Olivero
MENGIMBAU kembali permulaan kemunculan Saiful Bakeri di persada seni, anak jadi Bumi Kenyalang sebenarnya bercita-cita mencipta nama dalam industri hiburan tanah air. Menyertai pelbagai pertandingan daripada yang kecil sehingga yang bertaraf kebangsaan pernah dilaluinya. Sehingga satu ketika dia menyertai uji bakat Malaysian Idol menyebabkan dia terpilih untuk berentap di tahap yang lebih tinggi. Tetapi sayangnya kedudukannya hanya mampu bertahan di Top5 Malaysian Idol.
Langkahnya tidak terhenti di situ sahaja, nasib masih menyebelahinya apabila bernaung di bawah bumbung SonyBMG. Album barunya muncul dengan mempertaruhkan lagu Ku Juga Mencintaimu. Di tengah populariti lagu tersebut melonjak, Saiful diterpa oleh gosip yang tidak menyenangkan melibatkan imejnya yang dikatakan agak keperempuanan.
Anak muda ini pada mulanya agak tertekan dengan gosip tersebut tetapi ditepisnya dengan mendiamkan diri. Meskipun gosip tersebut menjejaskan tawaran mengadakan persembahan, namun Saiful tetap pasrah.
Tiba-tiba muncul pula khabar yang mengatakan bahawa dia telah berkongsi dengan sepupunya membuka sebuah butik. Ini merupakan pengalaman pertamanya dalam bidang perniagaan. Tetapi menariknya, butik tersebut dijadikan lokasi penggambaran drama bersiri Puteri. Saiful pula muncul secara ‘cameo’ dalam drama tersebut. Sedikit sebanyak peminatnya mendapati bahawa penyanyi ini tidak duduk diam sahaja ketika itu.
Aidilfitri 2008 datang menjengah memberikan kesempatan Utusan Sarawak datang berziarah ke rumah Saiful bertempat di Kampung Bintawa. Bersama beberapa rakan dan penyampai SarawakFM, Utusan Sarawak diberitahu oleh Saiful bahawa dia hanya beraya ala kadar sahaja memandangkan selepas hari raya, dia sibuk dengan promosi album baru yang merupakan album keduanya.
Menerusi albumnya kali ini, Saiful tampil dengan konsep berbeza. Memuatkan sembilan lagu ini diadaptasi dari lagu-lagu popular Mandarin dan kantonis serta sebuah lagi lagu antarabangsa. Lagu-lagu ini telah diberi nafas baru dengan alunan muzik yang lebih segar dan liriknya pula ditulis semula dalam Bahasa Melayu.
Saiful pula berkata, kelahiran albumnya kali ini, latihan mendengar dan menghayati lagu yang diadaptasi yang akan dimuatkan di dalam albumnya giat dilakukan bagi memastikan kualiti yang dihasilkan mendapat kepuasan para pendengar.
Aku Ada Di Sini menampilkan sembilan buah lagu. Lapan lagu yang diadaptasi dari lagu-lagu popular Mandarin dan Kantonis. Sebuah lagi lagu Inggeris dari Kumpulan Trademark berjudul Only Love.
Lagu tersebut telah mendapat sentuhan gubahan lagu oleh komposer Iman Wan dan disampaikan dalam Bahasa Melayu dengan gaya yang tersendiri tanpa mengikut rentak asal oleh penyanyi asal.
Lima daripada lagu yang terdapat dalam album ini dicipta oleh komposer tempatan yang pernah disampaikan oleh penyanyi-penyanyi popular seperti Sammy Cheng, Ah Niu dan ramai lagi.
Tidak ketinggalan, lagu yang mempopularkan Saiful dikalangan peminatnya iaitu lagu Ku Juga Mencintaimu turut dimuatkan dalam albumnya ini. Lagu ini juga turut dirakamkan dalam versi yang agak berbeza dari versi yang terdahulu di mana alunan melodinya lebih rancak kedengaran.

No comments:

Post a Comment