Tuesday, December 16, 2008

Tiga bakat muda tunggu album dua tahun

Elfidia.
BAKAT MUDA... Adik Elfidia (ketiga dari kiri).
DUWIN UDIH
Tiga bakat muda iaitu adik Elfidia,11,Elfa Elvanisia Remmy,12 dan Joshua Anak Mujah,15,terus menanti kemunculan album lagu mereka yang telah dirakamkan oleh sebuah syarikat rakaman berpangkalan di Sibu pada tahun 2006 sementara penggambaran untuk klip video album itu juga belum dimulakan. Sejak tahun 2006, mereka terus menunggu sehingga kini, dan lebih mengecewakan ialah orang tengah dan syarikat rakaman berkenaan langsung tidak memberitahu perkembangan pembikinan album mereka.

Adik Elfidia,11,pelajar Tahun 5 di sebuah sekolah di Mukah berkata,ketika belajar dalam Tahun 3, dia telah ditawarkan oleh dua penyanyi tempatan dari syarikat rakamanan terbabit, sehingga berjaya merakamkan 11 buah lagu bersama dua lagi rakannya, Elfa Elvanisia Remmy dan Joshua Anak Mujah di studio rakaman syarikat berkenaan pada masa itu.

Selepas rakamanan selesai, Elfidia sering bertanyakan tentang masa untuk membuat penggambaran klip video, tetapi sering kali gagal mendapat jawapan yang mengembirakan sehingga sekarang. Elfidia yang berbakat dalam nyanyian, pernah muncul juara dalam pertandingan nyanyian seperti Bintang Harapan, pertandingan karaoke Pesta Kebudayaan Borneo (BCF),Sibu 2007 dan 2008 dan Bintang Kecil serta Lagu Patriotik Kanak-Kanak 2007.

Bagaimanapun, difahamkan dia dan rakan-rakannya tidak menandatangani sebarang kontrak rakaman lagu dengan syarikat rakaman terbabit sehingga pada hari ini. Elfidia sering dijemput untuk membuat persembahan nyanyian pada majlis tertentu termasuk sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Pesta Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kingwood Resort, Mukah pada 2007.

Selain nyanyian, dia juga aktif dalam aktiviti sukan sehingga berjaya dipilih sebagai Olahragawati Harapan di Zon Ladang (ladang kelapa sawit), Mukah. Acara olah raga kegemarannya ialah lompat tinggi dan larian, dan prestasi cemerlangnya dalam dua acara itu membolehkannya dipilih untuk mewakili Daerah Mukah dalam Kejohanan Olahraga 11 dan 10 Tahun Ke Bawah Antara Daerah dalam Bahagian Mukah di Matu-Daro pada 16 dan 17 Oktober lalu. Sementara itu, kakaknya, Elfa Elvanisia yang turut menanti jawapan dari syarikat rakaman terbabit, tetap menumpukan pelajaran sebagai pilihan utamanya.

“Saya masih mengikut perkembangan pihak yang bertanggungjawab yang telah membawa kami bertiga untuk merakamkan lagu pada masa itu, namun sehingga kini belum lagi ada apa-apa keputusan dan kami masih menanti,” katanya.

Elfa Elvanisia pernah muncul juara pertandingan Bintang kecil Pesta Kaul Mukah 2006 dan 2007 serta pertandingan nyanyian pada peringkat sekolah 2008. Namun begitu, dia membayangkan untuk tidak mahu terus aktif dalam hobinya nyanyian)kerana merasakan bakatnya tidak dapat dikembangkan gara-gara sikap syarikat rakaman terbabit yang tidak mengendahkannya.

Sementara itu, seperti dua rakannya, Joshua Anak Mujah juga kecewa kerana album lagu yang telah dirakamkan dan sedang ditunggu belum siap sehingga hari ini. Joshua berkata dia tidak akan meneruskan proses rakaman albumnya walaupun dipanggil semula oleh syarikat rakaman berkenaan, kerana merasakan mereka bertiga telah menjadi mangsa pembohongan pihak terbabit. Berikutan itu, hasrat ketiga-ketiga anak muda berbakat itu untuk menjadi penghibur tidak menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment