Tuesday, December 16, 2008

Harith Iskander Nationwide Live Comedy Tour

Douglas dan Harith bersama Tracy B dari Catsfm.
Inilah Harith Iskander.
YANTISHAM
Foto: Jefri Bakeri
Ramai penonton meluahkan rasa puas hati selepas menonton persembahan komedi solo oleh Harith Iskander menerusi siri jelajah Harith Iskander Nationwide Live Comedy Tour dibawakan khas oleh Celcom yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Riverside di sini, malam semalam.

Tirai persembahan dibuka dengan menampilkan Douglas Lim menerusi lawak jenakanya yang selamba dan mencuit hati penonton selama setengah jam sebelum Harith Iskander beraksi.

Setelah itu, barulah Harith Iskander melangkah ke hadapan pentas dengan persembahan lawak solonya yang menyebabkan penonton tidak kering gusi. Pada penghujung persembahan, Harith bergandingan dengan Douglas menerusi dua buah lagu yang juga berunsurkan lawak jenaka.

Menurut salah seorang penonton yang tidak mahu namanya dinyatakan, mengatakan bahawa ini merupakan kali pertama menyaksikan persembahan ‘stand-up comedy’ yang menampilkan pelawak dari Malaysia.

“Pada mulanya saya agak waswas untuk menyaksikan persembahan ‘stand-up comedy’ ini dan setelah didesak oleh anak buah saya yang mengatakan saya akan berasa rugi jika tidak menyaksikan persembahan Harith Iskander.

“Memang benar, saya amat terhibur dengan persembahan Harith Iskander yang melucukan. Mereka sangat bijak membuat penonton ketawa dan bukan senang nak buat orang ketawa,” jelasnya ketika ditemui oleh Utusan Sarawak selepas persembahan.

Diterbitkan oleh produksi Tall Order Production Sdn Bhd milik pelakon, pengarah dan penerbit, Hans Isaac, jenaka Harith Iskander ternyata bukan calang-calang. Boleh dikatakan persembahan ‘stand-up comedy’ dilakukannya mampu mencuit hati.

Sebelum ini, siri jelajah Harith Iskander Nationwide Live Comedy Tour ini telah beraksi di Hotel Shagri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah, pada 3 November dan diikuti pada 7 dan 8 November di Marriot Resort & Spa, Miri, Sarawak.

Pada 28 November di Hotel Eastern & Oriental, Pulau Pinang dan kemuncak jelajah tersebut pada 12 Disember 2008 di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment