Tuesday, December 16, 2008

CatsFM perkenal 3 penyampai baru

Awen, Fuzz dan Tracy.
Tracy.
Awen.
YANTI SHAM
Foto: Andre Olivero
SEBAGAI sebuah stesen radio swasta di Bumi Kenyalang, CatsFM baru-baru ini memperkenalkan tiga penyampai baru mereka yang boleh dikatakan sudah dikenali ramai iaitu Awen, Fuzz dan Tracy.
Kemunculan tiga penyampai baru ini, diharapkan dapat memantapkan lagi rancangan-rancangan stesen tersebut sekali gus menambah bilangan pendengar. Kepekaan stesen radio tersebut memenuhi keperluan semasa para pendengar stesen radio ini yang sentiasa mahukan kelainan termasuklah dari segi para penyampai yang akan ke udara.
Menurut DJ Fuzz atau nama sebenarnya Mohd Fadzli bin Daud, 20, dia memang meminati bidang penyampai radio ini sejak kecil lagi dan sudah sekian lama menunggu untuk menjadi penyampai radio.
Fuzz yang kini mengendalikan segmen Apa Kenapa (Isnin), Love Diary (Rabu) dan Sport Chat (Selasa) mengatakan bahawa bidang tersebut memang sesuai dengan jiwa dan cita rasanya. Sejak bergelar penyampai radio, Fuzz mengakui bahawa dunia penyampaian radio memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi bidang ini banyak menuntutnya berada di konti.
Bagi Fuzz yang kini masih belajar di Kolej Twintech, penyampai radio mempunyai tanggungjawab tersendiri iaitu menghiburkan pendengar selain menyalurkan maklumat terkini. Tambahan pula, ketika berada di konti radio, seseorang penyampai perlu kreatif dan banyak berfikir.
Biarpun masih hijau dalam bidang penyampaian radio, bidang tersebut banyak mengubah dirinya, contohnya lebih berdisiplin dan membahagikan masa antara belajar dan kerjaya.
Bagi Tracy B, 21, gadis manis berkulit putih kuning, mula berkecimpung sebagai penyampai radio sejak Februari 2001. Pada mulanya, Tracy berada di bahagian Inggeris CatsFM dan pada 4 Ogos lalu dia beralih tugas ke bahagian Melayu.
Jelasnya, berikutan peralihan tersebut, pada mulanya dia agak tertekan kerana sebelum ini dia sudah biasa berdialog dalam bahasa Inggeris dan baginya bukan mudah untuk berinteraksi dengan pendengar menggunakan bahasa Melayu.
“Pada mulanya memang agak sukar dan lama kelamaan, saya sudah serasi. Tambahan pula, kami di CatsFM ibarat satu keluarga, semuanya saling bantu membantu,” jelasnya.
Kini Tracy yang merupakan gadis peranakan Bidayuh dan Cina ini, mengendalikan segmen Jom Review (Isnin), Cats Jalan Jalan (Selasa), Cats Medik (Rabu), Cats Top 10 (Khamis) dan Cats Nyaman (Jumaat). Bermula Oktober nanti, Tracy turut mengendalikan Carta Express Cats (Sabtu) dan Retro Cats (Ahad).
Manakala Awen atau nama sebenarnya Mohd Ridzwan mengatakan bahawa peluang menjadi penyampai CatsFM akan melebarkan lagi karier seninya selain bergelar salah seorang anggota kumpulan MIX.
Bagi Awen, dia bersyukur kerana kerjaya sebagai penyampai radio memang diidamkannya sejak dulu lagi dan amat berterima kasih kepada CatsFM kerana memberi kepercayaan kepadanya bertugas sebagai penyampai di stesen radio tersebut.
Pembabitan Awen sebagai salah seorang penyampai di CatsFM, turut menceriakan lagi stesen radio tersebut, memandangkan pengalamannya sebagai penyanyi dan penerbitan album, Awen turut menyumbangkan idea kreativitinya dalam produksi menghasilkan promo, jingle dan teaser. Baru-baru ini, dia bekerjasama menghasilkan lagu tema hari raya CatsFM dan ulang tahun CatsFM ke-12. Itu kelebihan yang ada pada Awen.
Di CatsFM, Awen mengendalikan segmen Cats Chill Out yang diselitkan dalam program Cats Ritma dan Seleksi Cats. Bermula oktober nanti, suara Awen akan kedengaran menerusi Hits Trio dan Salam Cats.

No comments:

Post a Comment