Tuesday, December 16, 2008

Filem Brainscans: Aku Dan Topi Ajaib temui penonton 25 Disember ini

Salah satu adegan dalam filem Brainscans.
Poster filem Brainscans.
YANTISHAM
FILEM Brainscans: Aku Dan Topi Ajaib arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth (MIG) akan menemui penonton di pawagam Metrowealth Riverside Cineplex pada 25 Disember ini. Filem ke-27 terbitan Metrowealth (MIG) bergenrekan komedi fiksyen merupakan percubaan kedua pengarah Ahmad Idham selepas mengarah filem Tentang Bulan.

Menariknya, filem Brainscans: Aku Dan Topi Ajaib turut menyelitkan elemen imej janaan komputer (CGI). Filem ini mendapat kekuatan pelakon kanak-kanak seperti Nik Adruce, Erin Malek, Fatin Nur Afifah, Nasiruddin Nasir dan Eric Fuzi. Pelakon lain seperti M Rajoli, Sharifah Shaheera, Khatijah Tan dan beberapa artis yang lain.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.8 juta ini mampu memecahkan suasana panggung dengan celoteh dan aksi komedi spontan yang bakal dipaparkan.

Kisah bermula apabila Dr.Suzana (Sharifah Shaheera) di bawah seliaan Prof. Dr. Taib Siron (M. Rajoli) berjaya mencipta sebuah mesin BS21 yang boleh membaca fikiran manusia. Walaupun BS21 amat penting dalam bidang perisikian ketenteraan namun, ia amat berbahaya jika terjatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab.

Hal itu benar-benar terjadi apabila Cat (Cat Farish) dan orang kanannya Kupan (Bob Kuman) telah mencuri BS21 dari makmal Dr. Suzana. Satu-satunya saksi yang melihat kejadian tersebut adalah Hashim (Zul Yahya), pengawal keselamatan makmal tersebut. Bermulalah pelbagai aksi dan perkara melucukan kerana BS21 sebenarnya boleh merealisasikan apa yang dihajati oleh pemakainya.

Semasa dalam usaha melarikan diri, Cat dan Kupan bertembung dengan sekatan jalanraya oleh pihak polis. Kupan yang bersifat ‘bodoh-bodoh alang’ telah mencampakkan BS21 ke dalam semak apabila dimarahi Cat. Semasa Adruce (Nik Adruce), anak kepada Hashim dalam perjalanan balik dari sekolah, dia telah menemuinya dan membawa pulang BS21.

Di sekolah, Adruce adalah seorang budak yang kuat berangan dan sering tidur di dalam kelas. Adruce sangat menyukai Erin (Nur Arina), rakan sekelasnya dan mendapat tentangan daripada Eric (Eric), musuh ketat Adruce. Di rumah, Adruce sering tertekan dengan sikap ibunya(Nik Sayyidah) yang kuat membebel.

Sambil membelek-belek BS21 di dalam biliknya, macam-macam perkara difikirkannya tanpa mengetahui kebolehan mesin tersebut. Ibunya tidak berhenti-henti membebel dari luar bilik. Erin yang cantik sentiasa dikenang-kenang dan wajah Eric sentiasa didendaminya.

Keesokan harinya, segala-galanya berubah. Ayahnya telah mengambil sifat-sifat dan kerja-kerja ibunya dan begitulah sebaliknya yang terjadi kepada si ibu. Di sekolah, seperti di alam fantasi, Adruce dilayan seperti raja oleh semua termasuklah oleh Cikgu Bedah (Khatijah Tan); guru yang selalu memarahinya kerana suka tidur di dalam kelas, Eric yang menjadi orang suruhannya dan Erin menjadi seolah-olah puteri yang sentiasa bersama dengan puteranya.

Walaupun Adruce bahagia dilayan sedemikian tetapi dia terpaksa pulihkan keadaan kerana ibu dan ayahnya yang sudah bertukar karakter. Pelbagai usaha dilakukan oleh Adruce dan adiknya Fatin (Fatin Nur Afifah), Erin dan Eric untuk memulihkan keadaan. Tetapi, usaha tersebut bukanlah mudah kerana Cat dan Kupan sentiasa memikirkan cara untuk mendapatkan semula mesin tersebut. Begitu juga Dr. Suzana dan Prof. Taib.

Apakah kesudahannya dan siapakah dalang sebenar-benarnya disebalik huru hara yang berlaku? Segalanya akan disingkap menerusi filem ke-23 Metrowealth (MIG), BS21.

No comments:

Post a Comment