Wednesday, December 17, 2008

PENCARIAN BAKAT BARU DALAM CATS XPOSED

Sejajar dengan tema Pilihan Setempat Anda, Hanya UntukMu, radio swasta Sarawak, CATS FM bakal memulakan satu rancangan radio bertajuk CATS XPOSED.
Program baru itu, yang dijadual untuk siaran akhir tahun ini, bertujuan mencari band-band indie yang belum diketengahkan dan pemuzik-pemuzik yang sedang mencari ruang untuk mengembangkan sayap mereka dalam industri ini.
Dengan pendekatan yang tersendiri, CATS XPOSED berusaha menampilkan bakat-bakat tempatan ini agar muzik mereka dapat diangkat ke persada yang lebih tinggi dan dapat didengari oleh peminat-peminat muzik, yang sentiasa dahagakan sesuatu yang berlainan.
“CATS FM memang sentiasa menyokong pekembangan industri seni muzik di Sarawak, yang sememangnya mempunyai kepelbagaian dan keunikan. Dengan permintaan yang semakin tinggi untuk band-band independent seperti ini, kami percaya CATS XPOSED mampu menjadi wadah kepada bakat-bakat baru untuk membawa muzik mereka kepada aliran massa,” kata Pengurus Besar CATS, Mohd Iskandar.
Selain menampilkan kumpulan-kumpulan dan persembahan baru, CATS XPOSED akan turut mengenengahkan pelbagai pertandingan muzik berkumpulan di sekitar Kuching. Rancangan ini akan turut menghasilkan slot pendek untuk memperkenalkan persembahan dan kumpulan muzik indie baru dari Semenanjung Malaysia.
Menurut Iskandar, “Kebanyakan band-band dan persembahan yang akan kami tampilkan belum dikenali ramai tetapi mereka mempunyai peminat dan pengikut mereka tersendiri. Kerana itu, kami menjemput pemuzik-pemuzik dan band-band tempatan seperti ini untuk berkongsi muzik mereka dengan khalayak massa.”
Pemuzik-pemuzik yang berminat hanya perlu menghantar demo rakaman mereka kepada CATS FM. Demo itu akan dinilai terdahulu oleh pihak stesen bagi memastikan ia berkualiti dan menepati piawaian penyiaran sebelum disiarkan.
Demo yang baik dan terpilih akan disiarkan melalui CATS XPOSED. Pemuzik terbabit juga berpeluang untuk membuat persembahan konsert dan pentas anjuran CATS FM. Jadi, band-band dan pemuzik yang mahu menapak lebih serius dalam industri muzik tanahair dialu-alukan untuk menyertai CATS XPOSED.
Siapa tahu... anda mungkin mendapat perhatian syarikat rakaman terkemuka!!

No comments:

Post a Comment