Tuesday, December 16, 2008

Bukoi Borneo dikenali di Sri Aman

BERBAKAT...Bukoi Borneo mula terkenal di daerah Sri Aman.
VALENTINE NGUMBANG
Sebut sahaja Bukoi Borneo, mungkin ramai pendengar setia stesen radio RaSA FM atau Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman yang mengenali nama penyanyi terbabit setelah lagu beliau berjudul Bujang Reraya sering berkumandang di corong radio berkenaan selama ini.
Rata-rata para pendengar stesen radio berkenaan di daerah Sri Aman ini sering meminta juruhebahnya untuk memutarkan lagu Bujang Reraya hasil dendangan Bukoi Borneo bermula dari jam 2 hingga 3 petang pada setiap hari.
Walaupun lagu Bujang Reraya tidak dihasilkan menerusi studio syarikat rakaman tempatan di negeri ini, namun lagu berkenaan berjaya menambat hati para pendengar yang sememangnya mengemari lagu berentak joget selama ini.
Penyanyi berbakat terbabit atau nama sebenarnya Chin Ah Kui, 55, ternyata berjaya menempatkan dirinya dalam hati para peminat lagu Iban di daerah ini setelah bertungkus lumus menyiapkan lagu Bujang Reraya dan empat buah lagu Iban yang lain dengan menggunakan alat muzik beliau sendiri.
“Lima buah lagu Iban yang telah berjaya saya hasilkan bersama rakan-rakan selama ini ialah Bujang Reraya, Bujang Dikerindu, Jempuk Basah Laban Hujan, Joget Dara Janda dan Bujang Beraie.
“Menerusi kelima-lima buah lagu Iban terbabit, para pendengar akan didendangkan dengan rentak muzik jenis Joget, A Go Go dan Twist,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Bagaimanapun Bukoi mengakui bahawa kualiti muzik dan suara yang dipersembahkan menerusi kelima-lima lagu terbabit mungkin tampak kurang kerana ianya dihasilkan hanya dengan menggunakan alatan muzik seperti keyboard, perakam radio dan gitar elektrik.
Beliau yakin sekiranya kesemua lagu ini dihasilkan di studio rakaman mungkin lagu Bujang Reraya mampu muncul sebagai salah sebuah lagu joget yang mendapat sambutan memberangsangkan dikalangan pendengar dalam negeri ini.
“Mungkin ada pihak syarikat rakaman yang menganggap saya sudah tua untuk menceburi bidang nyanyian ini secara serius dan seterusnya tidak berminat untuk menerima saya di dalam syarikat mereka.
“Namun mereka harus ingat terdapat lagi artis rakaman lain yang jauh lebih tua daripada saya. Sikap hipokrit seperti ini haruslah disingkirkan kerana industri lagu Iban tempatan bukan sahaja boleh diserikan oleh golongan muda malah oleh golongan tua juga selagi mereka ini mempunyai bakat,” katanya.
Anak jati kelahiran daerah kecil Lubok Antu ini pernah muncul juara dalam beberapa pertandingan lagu karaoke terbuka yang dianjurkan dalam pesta atau temasya keramaian di Sri Aman.
Bukoi yang kini menjadi penyelia operasi syarikat Borneo Bus kawasan Sri Aman dijangka mampu popular setanding dengan artis rakaman Iban dari daerah Sri Aman sekiranya diterima oleh mana-mana syarikat rakaman di negeri ini. Selain lagu Bujang Reraya, lagu Bujang Dikerindu juga muncul sebagai salah satu lagu yang paling mendapat sambutan pendengar radio RaSA FM selama ini.

No comments:

Post a Comment