Monday, January 5, 2009

Permai Rainforest Resort, gerbang ke alam semula jadi

PERMAI Rainforest Resort, 35 kilometer dari bandaraya Kuching merupakan satu destinasi yang harus dikunjungi untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika yang terletak di kaki Gunung Santubong dan Laut China Selatan.
Meliputi kawasan seluas 44 ekar, Permai Rainforest Resort atau sebelum ini dikenali sebagai Kem Permai menawarkan penginapan yang menyeronokkan terutama mereka yang ingin mencuba kelainan berbanding tinggal di hotel bertaraf lima bintang. Jika anda menjejakkan kaki ke Permai Rainforest Resort, satu perkara yang tidak harus dilepaskan iaitu menginap di rumah pokok setinggi tiga meter.

Menampilkan 10 unit rumah pokok dengan reka bentuk rumah yang dibina khas berdindingkan kulit pokok dan cermin, lengkap dengan peralatan bertaraf hotel akan menjadi kenangan bagi mereka yang tinggal di dalamnya.
Lokasi kedudukan rumah pokok terletak di pinggir pantai menjadi tarikan utama bagi pengunjung yang ingin melalui pengalaman tinggal di dalamnya di samping menjadi tempat untuk berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Menurut Encik Nurazaman Haji Hassan, Pegawai Pemasaran dan Jualan, Permai Rainforest Resort, mereka turut menyediakan pakej bulan madu yang istimewa kepada pasangan yang merasai pengalaman bulan madu.
Pakej tersebut ialah penginapan tiga hari dua malam di rumah pokok untuk dua orang dengan harga RM399 untuk seorang. Dalam pakej ini menyediakan kemudahan seperti minuman selamat datang, sarapan pagi untuk dua orang, aktiviti lasak high rope couse, satu jam percuma berkayak di laut, makan malam ala barat menampilkan empat hidangan, sebakul buah-buahan, jambangan bunga, setiap jam 8.00 malam terdapat perkhidmatan menghias katil yang ditaburkan kelopak mawar, coklat, sebatang bunga ros dan makan malam di bawah sinaran cahaya lilin untuk dua orang di balkoni rumah pokok.
Tambahnya, selain rumah pokok, Permai Rainforest Resort turut menyediakan 23 unit rumah kabin memang sesuai untuk penginapan seisi keluarga yang datang ingin menginap dan merasai kehidupan di hutan tropika yang belum terusik dan kaya dengan khazanah alam.
Rumah kabin ini menampilkan dua rumah kabin yang berbeza iaitu rumah kabin dua tingkat dan rumah kabin satu tingkat. Rumah kabin dua tingkat mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan boleh memuatkan 10 orang. Rumah kabin satu tingkat pula menyediakan dua buah bilik dengan 3 buah katil, satu bilik air, ruang tamu dan sofa.
Terdapat tiga tawaran harga yang berbeza di Permai Rainforest Resort iaitu musim kemuncak (Peak Season), musim biasa (Normal Season) dan musim hujung tahun (Low Season). Untuk Peak Season menampilkan harga seperti rumah pokok (RM300), rumah kabin satu tingkat (RM248) dan rumah kabin dua tingkat (RM300).
Untuk Normal Season pula, menampilkan harga seperti rumah pokok (RM260), rumah kabin satu tingkat (RM228) dan rumah kabin dua tingkat (RM288). Untuk Low Season pula menampilkan harga iaitu rumah kabin satu tingkat (RM208) dan rumah kabin dua tingkat (RM248).
Selain mandi di laut, pengunjung boleh mandi di kolam mandi yang dialirkan menerusi air terjun di kaki gunung Santubong. Selain itu, ia sejajar dengan slogan eko-pelancongan untuk menjadikannya sebagai pintu masuk utama gerbang ke alam semula jadi.
Ternyata kewujudan Permai Rainforest Resort, merupakan satu kejayaan bagi Damai Rainforest Resort Sdn. Bhd., untuk memastikan keindahan alam yang ada perlu dipelihara dan dijaga supaya berkekalan.
Untuk keterangan lebih lanjut tentang Permai Rainforest Resort, sila hubungi talian 082-846490/487 atau lawati laman web www.permairainforest.com

No comments:

Post a Comment